AIDS bermaksud "Acquired Immuno-deficiency Syndrome'.  AIDS merupakan peringkat terakhir daripada spektrum jangkitan HIV di  mana sistem daya ketahanan badan melawan kuman-kuman jangkitan telah  dilumpuhkan oleh virus HIV            
 AIDS adalah singkatan bagi Acquired Immune Deficiency Syndrome iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit.  
-                                ‘Acquired' - bermaksud jangkitan yang dipindahkan dari seorang individu kepada lain individu dan bukan diperolehi dari keturunan
 -                                ‘Immunodeficiency'  - Menerangkan keadaan di mana keupayaan semula jadi badan melindungi  dirinya dari penyakit-penyakit dan jangkitan telah sangat lemah dan  tidak lagi boleh melindungi dirinya dari jangkitan dan berbagai jenis  barah.
 -                                ‘Syndrome' -  Membayangkan gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala berpunca dari  sebab/keadaan atau gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala dalam satu  kombinasi tertentu sebagai gambaran klinikal satu-satu penyakit.
 
AIDS  disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai HIV (Human Immunodeficiency  Virus). HIV menyerang dan melemahkan sistem pertahanan badan manusia  iaitu pertahanan semula jadi badan terhadap semua jenis jangkitan. Ia  lambat-laun akan memusnahkan keupayaan semula jadi badan untuk melawan  jangkitan dan sesetengah jenis kanser. AIDS merupakan penyakit yang  paling serius terjadi akibat jangkitan HIV. Bagi mereka yang menghidap  AIDS, jangkitan dan penyakit yang biasanya tidak merbahaya boleh  mengancam nyawa seperti jangkitan opportunistic berpunca dari mikrob  yang lazimnya tidak menyebabkan penyakit pada orang sihat.
Kriteria  yang digunakan untuk mentakrifkan AIDS adalah merangkumi semua orang  yang dijangkiti HIV yang mempunyai bilangan sel CD4 +T kurang daripada  200. Sel ini juga dikenali sebagai sel T4. Sel T4 ialah 'pejuang' utama  dalam sistem pertahanan badan yang melawan penyakit. Orang dewasa yang  sihat selalunya mempunyai 1000 atau lebih sel T4.
Sindrom AIDS 
  Istilah AIDS adalah merujuk kepada peringkat jangkitan HIV yang paling  lanjut. Gejala-gejala yang lebih teruk mungkin tidak akan muncul dalam  tempoh satu dekad atau lebih selepas HIV mula-mula menjangkiti badan  mangsa. Penyakit HIV akan bertukar menjadi AIDS apabila sistem  pertahanan badan terjejas teruk dan pelbagai komplikasi mula timbul.  Kebanyakan keadaaan yang membentuk AIDS adalah akibat jangkitan yang  bersifat opportunistic (iaitu merujuk kepada jangkitan mikroorganisma  yang biasanya tidak menyebabkan penyakit pada orang sihat) seperti:
-                Jangkitan paru-paru yang dicirikan oleh batuk, sesak nafas dan sakit dada (contohnya, pneumonia dan tuberkulosis pulmonari atau miliari akut).
 -                Cirit-birit yang teruk dan berterusan.
 -                Jangkitan pada otak atau kanser yang dicirikan oleh kekeliruan, demam, sawan, kehilangan penglihatan, sakit kepala yang teruk dan loya.
 -                Berat badan menyusut dengan teruk.
 -                CMV (sitomegalovirus), sejenis jangkitan yang biasanya menyerang mata.
 -                Kandida-sejenis jangkitan fungus yang menyebabkan seriawan (lapisan keputihan nipis dalam mulut) atau jangkitan dalam tekak atau faraj.
 - Mereka yang menghidap AIDS amat cenderung mendapat pelbagai jenis kanser seperti Sarkoma Kaposi, sejenis kanser kulit yang dicirikan oleh bintil atau tompok-tompok ungu/merah jambu yang timbul pada kulit; atau kanser sistem pertahanan badan yang dikenali sebagai limfoma.
 
Komplikasi 
Oleh kerana pesakit  AIDS telah mengalami kelumpuhan fungsi sistem imun, mereka lebih mudah  jatuh sakit berbanding dengan mereka yang memiliki tindak balas imun  yang sihat. Komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku ialah: 
-                Pneumocystis carinii pneumonia (sejenis penyakit radang paru-paru), yang boleh membawa maut. Penyakit ini memusnahkan paru-paru pesakit AIDS
 -                Cytomegalovirus retinitis merupakan penyakit mata berkaitan AIDS yang serius dan boleh menyebabkan buta.
 -                Sarkoma Kaposi merupakan kanser berkaitan AIDS yang menyebabkan ketumbuhan/tumor pada kulit. Ia berwarna merah jambu atau ungu.
 -                AIDS wasting syndrome melibatkan penurunan berat badan yang ketara, cirit-birit yang kronik atau rasa lemah dan demam yang berpanjangan atau berkala selama sekurang-kurangnya 30 hari
 
Adakah terdapat penawar untuk AIDS?
 Sehingga  kini belum ditemui sebarang vaksin untuk melawan HIV atau sebarang ubat  yang boleh menyembuhkan AIDS. Bagaimanapun, terdapat ubat yang boleh  memperlahankan perebakan HIV di dalam badan dan kerosakan sistem  pertahanan badan. 
Terdapat  jenis ubat-ubatan lain yang boleh mencegah atau merawat sesetengah  jenis jangkitan opportunistic. Risiko penularan HIV daripada wanita  hamil kepada janinnya dapat dikurangkan dengan banyak sekiranya ubat  tertentu diberi kepada ibu semasa hamil, semasa pelahiran dan bersalin  dan juga diberi kepada bayi semasa 6 minggu pertama hayatnya. Sarkoma  Kaposi atau kanser yang lain pula boleh dirawat dengan radiasi dan  kemoterapi.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan