Assalamualaikum dan selamat sejahtera..
Lama sudah tidak bersua. Bersuanya kita kali ini ninie nak cerita sedikit mengenai Tebingan Sungai Kuching..
Kuching Waterfront atau Tebingan yang kaya dengan pelbagai aktiviti dan menjadi antara satu tempat rehat nyaman…juga dikenali sebagai ‘People’s Place”.
Ia dianggap sebagai ‘halaman rakyat´ di kalangan pelancong asing berikutan destinasi berkenaan menjanjikan seribu satu pengalaman tidak terdapat di tempat lain.
Tidak hairanlah kunjungan ke Kuching dikatakan tidak lengkap jika tidak singgah ke Kuching Waterfront, sekali gus menikmati panorama indah Sungai Sarawak.
Sejak Kuching Waterfront yang mengunjur sejauh satu kilometer di tebing Sungai Sarawak dirasmikan pada September 1993, lokasi itu tidak pernah sunyi dikunjungi penduduk tempatan serta pelancong dalam dan luar negara yang berulang kali menjadikan bandar raya ini sebagai destinasi percutian setiap tahun.
Sesuai kedudukannya di tengah pusat bandar raya ini, Kuching Waterfront mudah dikunjungi kerana kebanyakan hotel penginapan sama ada bertaraf bintang atau hotel bajet terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan.
Keindahan landskap atau seni taman dan keunikan reka bentuk Kuching Waterfront yang dikelilingi beberapa bangunan bersejarah dapat dilihat dari tingkap hotel bertaraf antarabangsa yang menghadap Sungai Sarawak.
Bagi mereka yang lebih gemarkan hotel bajet, terdapat beberapa hotel seumpama itu di kawasan berhampiran, namun tempahan perlu dibuat lebih awal kerana kerap sesak dengan pengunjung.
Di kawasan berkenaan, pengunjung berpeluang menikmati makanan dan minuman di kawasan susur pejalan kaki di benteng sungai sepanjang satu kilometer.
Dari aspek sejarah, Kuching Waterfront yang pernah menerima pelbagai anugerah seni bina landskap itu akan menceritakan segala-galanya kepada pengunjung tanpa perlu menghabiskan masa membelek lipatan sejarah di arkib atau perpustakaan.
Ini kerana setiap langkah di sepanjang tebing itu akan membongkar segala kisah silam dan menarik mengenai Sarawak.
Di sepanjang tempat berjalan kaki di tebingan itu, ada diletakkan penerangan ringkas mengenai catatan sejarahnya.
Tidak cukup dengan penerangan ringkas di atas laluan pejalan kaki, di kiri kanan tebingan itu juga tersergam bangunan bersejarah seperti Astana Negeri, bangunan yang dibina Charles Brooke pada 1870 sebagai hadiah perkahwinan kepada isterinya, Ranee Margaret.
Buat masa ini, Astana menjadi kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Pemandangan di kawasan terbabit juga menjadi lebih menarik berikutan siapnya bangunan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Square Tower di Kuching Waterfront dulunya digunakan untuk meninjau pergerakan musuh. Ia yang dibina pada 1879 dikenali juga sebagai Rumah Pasung di kalangan penduduk tempatan kerana dikatakan pernah dijadikan pusat tahanan pada zaman pemerintahan Brooke.
Bagi mereka yang gemar menonton wayang dan bermain bowling, tentunya sebuah pusat beli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman bersebelahan Sungai Sarawak di Kuching Waterfront menjadi pilihan.
Amat dicadangkan anda yang melawat Tebingan Kuching ini agar berjalan kaki untuk merasai sendiri pengalaman di sekitar kawasan ini…
*Tempat menarik berdekatan:
Muzium Cina(hanya di tepi waterfront), Riverside Majestic Hotel, Parkson Ria, Hilton Hotel, Grand Margeherita Hotel, Sarawak Plaza Shopping Complex, Tun Jugah Shopping Complex(terdapat food court di tingkat paling atas), Main Bazaar(kraftangan Sarawak), Indian Street(pusat fabrik dan macam2).